[TPPA dan Masa Depan Negara]

[TPPA dan Masa Depan Negara]           Oleh: Mohamad Jeffrey bin Ismail
Kuliah Perubatan Tahun 5 Universiti Tanta

Perjanjian TPP yang bakal diputuskan oleh kerajaan dalam masa terdekat bakal melakar satu sejarah buat negara Malaysia. Perjanjian TPP bakal memberi impak yang amat besar kepada negara kita, khususnya rakyat Malaysia sendiri selepas keputusan penyertaan Malaysia dalam perjanjian ini diputuskan dalam masa terdekat ini iaitu dalam tempoh tiga bulan selepas perjanjian dimuktamadkan pada 5 oktober 2015 di Atlanta, Amerika Syarikat.

Apa itu TPPA?

Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA) atau Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik merupakan satu bentuk perjanjian perdangangan bebas (Free Trade Agreement) bersifat multilateral antara 12 negara rantau asia pasifik iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam. TPPA secara asasnya merupakan satu perjanjian bagi mewujudkan liberalisasi pasaran yang membolehkan mana-mana negara anggota bebas berniaga di negara ahli tanpa ada sekatan. Secara kasarnya, TPPA dilihat sebagai satu peluang kepada para usahawan syarikat untuk memasarkan produk di luar daripada Malaysia.
Walaubagaimanapun, wujud kebimbangan kemungkinan TPPA ini bakal memerangkap negara dalam arus persaingan ekonomi global seterusnya memeberi kesan buruk dalam jangka masa panjan. TPPA juga bukan hanya sekadar perjanjian perdagangan bebas biasa, akan tetapi jika diteliti secara mendalam, TPPA juga boleh dilihat sebagai persoalan geopolitik Amerika Syarikat untuk menyekat perkembangan perdagangan dan ekonomi China.

Isi kandungan TPPA

Dokumen TPPA mengandungi sejumlah 30 fasal di mana hasil penelitian dan kajian yang dibuat oleh penganalisa yang menganalisa isu ini secara makro seperti Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mendapati tidak lebih daripada 10 fasal perjanjian sahaja yang melibatkan perjanjian bentuk perdangangan, dan fasal selebihnya adalah lebih bersifat perundangan perdagangan. Antara fasal yang terkandung dalam perjanjian ini adalah fasal berkenaan akses pasaran, bab pelaburan, harta intelek, servis kewangan, telekomunikasi, pemerolehan kerajaan, syarikat milik kerajaan (GLC), isu buruh, alam sekitar dan banyak lagi.

Impak TPPA kepada negara

Terlalu besar impak TPPA ini kepada negara, khususnya kepada rakyat itu sendiri. Fasal-fasal yang terkandung dalam perjanjian ini bakal mengubah landskap negara dari sudut politik, ekonomi, dan sosial negara kita.
Kesan TPPA terhadap politik negara dilihat menerusi ruang membuat dasar yang mana selepas TPPA dipersetujui, maka penggubalan sesuatu dasar baru negara akan terikat sepenuhnya dengan perjanjian ini. Negara kita juga perlu menggubal semula dasar-dasar negara dan memastikan ianya selari dengan syarat TPPA. Satu lagi kesan dapat dilihat adalah dari sudut kuasa mahkamah arbitrasi antarabangsa yang dikenali sebagai ISDS ini, di mana kuasa Investor-state dispute settlement (ISDS) ini adalah lebih tinggi dari mana-mana kuasa perundangan negara ahli TPPA. Ini menjadikan negara kita berisiko untuk disaman oleh syarikat pelabur asing sekiranya mereka mendapati kita melanggar mana-mana syarat perjanjian seperti tidak menjaga kepentingan perdagangan mereka di negara kita atau mereka mendapati terdapat dasar-dasar negara kita yang bercanggah dengan syarat TPPA itu sendiri.
Dari sudut sosioekonomi pula, impaknya jauh lebih besar. Liberalisasi pasaran misalnya akan menyebabkan syarikat tempatan kita terpaksa bersaing dengan syarikat gergasi korporat multinasional milik negara lain. Sudah tentu satu persoalan yang perlu dijawab di sini iaitu adakah syarikat tempatan kita mampu untuk bersaing dengan syarikat gergasi ini? Dari sudut kesan menerusi bab pelaburan, perjanjian ini menggariskan pemberian keistimewaan layanan kepada syarikat asing sama seperti syarikat tempatan, di mana pemberian hak kemasukan dan pemilikan, serta keutamaan kerajaan memberikan projek dan konsesi kepada syarikat milik kerajaan (GLC) perlu diberi keutamaan layanan yang sama dengan syarikat asing, menyebabkan kesan yang besar terhadap sumber perolehan negara sekiranya syarikat milik kerajaan gagal bersaing dengan syarikat korporat asing ini. Sekiranya syarikat asing ini mendapati layanan kurang diberikan, mereka boleh memfailkan saman kepada kerajaan Malaysia menerusi ISDS tadi.
Akses capaian kepada ubatan generik merupakan satu lagi isu penting yang terkandung dalam fasal pemilikan harta intelek. Sesuatu jenis ubat yang telah dipatenkan oleh syarikat farmaseutikal tidak boleh dihasilkan oleh syarikat penghasil ubat generik sepanjang tempoh paten ubat tersebut. Kesannya, monopoli syarikat farmaseutikal gergasi ini akan menyebabkan harga ubatan akan meningkat, seterusnya kos rawatan penyakit juga akan semakin mahal. Di Malaysia, ubat generik adalah umpama satu pemberian kelangsungan hidup kepada penghidap penyakit kronik di mana mereka ini masih mampu mendapatkan akses kepada ubatan generik yang jauh lebh murah.

TPPA dan masa depan negara

Pemeteraian perjanjian TPP oleh negara Malaysia bakal memberi impak perubahan besar buat sebuah negara merdeka seperti Malaysia kerana dengan termeterainya TPPA, negara kita bakal berhadapan satu lagi bentuk penjajahan baru, di mana halatuju ekonomi negara kita selepas ini akan dipandu oleh kuasa Amerika Syarikat.
Kesan TPPA kepada kita selaku golongan mahasiswa mungkin tidak akan dirasai dalam masa terdekat sejurus selepas perlaksanaan TPPA ini, akan tetapi kesannya akan mula dirasai sekurang kurangnya 10-20 tahun akan datang di mana kita selaku generasi peneraju negara pada ketika itu dan generasi anak-anak kita pasti akan merasai azab sebenar hasil perjanjian ini.
Akhir sekali, Kita masih mempunyai ruang yang luas memajukan ekonomi negara kita sekalipun tanpa penyertaan kita ke dalam TPPA. Masih banyak perjanjian perdangangan kita dengan negara-negara lain yang belum dimanfaatkan sepenuhnya. Dari aspek geopolitik dunia, peranan Malaysia sebagai negara berkecuali dilihat perlu terus kekal bagi mengimbangi dua kuasa besar iaitu timur (China) dan barat (Amerika Syarikat) dalam memastikan kestabilan geopolitik di rantau ini.

About suaraonline

Gerakan SUARA Rakyat
This entry was posted in Artikel, Ilmiah, Mahasiswa Bantah TPPA, Suara Rakyat. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s