Wasiat Kepada Pemimpin – Sheikh Mutawalli Sya’rawi

Menurut Dr. Siddiq Fadzil, ulama dan umara’ adalah 2 golongan utama yang menentukan maju mundurnya umat ini dalam mana-mana zaman-zaman sekali pun. Ulama dan umarak adalah kelompok yang mengasuh kemanusiaan. Manakala Maulana Iqbal pula bermadah melalui syairnya, “Bangsa itu lahir melalui tangan para penyair, jatuh bangun mereka itu berpunca daripada tangan politikus”. Manakala penyair, menurut Iqbal merupakan golongan yang sejalur makna dengan pengertian ulama-ilmuan dan melalui tangan mereka inilah nilai ketamadunan sesuatu bangsa itu diangkat. Dan, kelahiran bangsa Arab umpamanya ditandai dengan kehadiran syair-syair Jahiliyah yang telah dipatahkan melalui al-Quran yang ditanzilkan dengan ungkapan gaya bahasa syair yang indah. Ucapan-ucapan indah itulah yang menggerakkan serta merangsang pertumbuhan akliah anak bangsa untuk melakukan perubahan dan kemajuan.

Tetapi, bangsa itu maju dan jatuh melalui kuasa-kuasa ahli politik. Politikus yang baik akan memajukan bangsa, demikianlah sebaliknya. Maka, ulama dan umara’ perlu bersatu demi membangunkan umat. Mereka harus positif dan optimis dalam mendepani perubahan demi meningkatkan kekuatan umat masa depan. Tiada masalah yang tidak dapat ditangani asalkan semangat jihad disuburkan.Antara masalah pertubuhan Islam kini menurutnya, adalah tiada kemahiran berorganisasi dan sesetengah aktivis dakwah yang enggan berjuang di dalam wadah ulama kerana kepentingan tersendiri sehingga mengabaikan usaha membasmi kejahilan umat. Ulama pun jadi berpecah, umat sengsara dan keadaan bertambah parah. Usaha aktivis bukan terletak kepada laungan, menghasilkan resolusi tanpa tindakan. Mereka harus beranjak ke arah paradigma yang menekankan strategi secara rapi, pelaksanaan secara konsisten, berani mendepani seteru Islam dengan membina barisan pejuang.

Para aktivis Islam, ulama dan umarak perlu bekerjasama dalam bidang yang boleh disepakati dan mengelakkan perselisihan yang merugikan umat. Oleh itu, para aktivis Muslim perlulah melengkapkan diri dengan kemahiran, ilmu dan kepimpinan di samping berusaha memahami masalah terkini umat Islam. Umat Islam masa kini tidak menampakkan kesatuan yang kukuh dan kekuatan rohani yang disokong kekuatan intelektual. Apakah harapan untuk melahirkan ulama bersifat umarak dan umarak yang memiliki ciri ulama itu dapat dicapai? Atau, dalam pengertian yang lain, apakah mudah kerja untuk mengulamakan umarak dan mengumarakkan ulama?

Presiden ABIM, Dr Siddiq Fadhil satu ketika dahulu dalam ceramahnya bertajuk ‘Ulama dan Umarak: Penyatu Pembangunan Ummah dan Negara’ berkata, seruan ini pernah berkumandang pada satu masa dahulu dengan sedikit perbezaan. Dulu disebut ‘mengulamakan intelektual dan mengintelektualkan ulama’. Tetapi, sekarang ini apakah mampu kita meneruskan usaha itu dalam konteks kenegaraan dan dakwah hari ini? Tambah beliau, antara sebab umat ketinggalan ini berpunca daripada ulama yang takut dan ketakutan mereka itu tidak bertempat.

Antara ciri ulama seperti yang disebutkan dalam al Quran ialah ketakutannya kepada Allah dan ciri ini hilang. Bukan bererti ulama sekarang tidak takut. Ketakutan itu masih ada, tetapi ia bukan kepada Allah, malah kepada pemerintah. Dan kita lihat pemerintah sekarang bukan lagi memakai fahaman berani kerana benar, takut kerana salah. Malah, mereka menjadi benar kerana berani. Dan kalau salah tak pernah takut. Ulama juga perlu ditegur. Menegur ulama yang bijak tidak mudah kerana mereka ini selalu ada jawapannya, satu kisah yang diceritakan Dr. Siddiq Fadzil tentang usaha menasihatkan ulama yang gemar bermewah dan membazir. Suatu hari, seorang pemuda soleh berwuduk dengan air banyak sehingga ditegur ulama yang suka mewah itu. Ulama yang suka kemewahan itu berkata; “Kenapa berlebihan mengguna air? Cukup sahaja dengan membasuh anggota wuduk tiga kali.”

“Wah, saya cuma berlebihan menggunakan air. Anda berlebih-lebihan dan bermewah-mewah menggunakan harta itu bagaimana pula?” kata pemuda tersebut membalas hujah. Akhirnya, ulama tadi tersedar daripada kesilapannya selama ini.

Ertinya, usaha menegur ulama dan umarak perlu berterusan juga demi kelangsungan umat. Apakah harapan melihat kelahiran ‘ulama berjiwa umarak’ dan ‘umarak berjiwa ulama’ akan masih wujud? Zulkarnain adalah contoh ulama-umarak yang membina ‘projek mega’ untuk melindungi rakyat daripada ancaman musuh mereka. Projek mega itu disebut dalam al-Quran, iaitu sebuah benteng yang melindungi mereka daripada penjajahan Yakjuj Makjuj. Ia bukan projek kemegahan Zulkarnain untuk memuji diri sendiri. Buktinya setelah selesai, baginda isytiharkan bahawa projek itu adalah rahmat daripada Allah.

Di sini terdapat video yang mendedahkan nasihat berani Sheikh Mutawalli Sya’rawi di hadapan Presiden Mesir, Hosni Mubarak. Siapa tidak kenal dengan Hosni Mubarak? Keberanian Sheikh Mutawalli Sya’rawi perlu menjadi inspirasi kepada agamawan era ini. Walaupun wasiat Sheikh Mutawalli Sya’rawi ini ditujukan kepada presiden Mesir, tetapi sesuai juga kepada mana-mana yang menjadi calon untuk pilihanraya nanti mendengar dan mengambil iktibar bersama. Inilah yang dikatakan ulama yang berani. Berani menyatakan kebenaran di depan pemimpin yang zalim.

Translate:

Dan sesungguhnya aku (Sheikh Mutawalli Sya’rawi).. wahai Tuan Presiden, aku berdiri di sudut ini untuk menerima pahala dari Allah. Aku tidak menghabiskan sisa-sisa hidup aku menjadi munafiq. Aku tidak akan mempamerkan diri aku ini dengan perkara-perkara yang menipu. Tetapi aku ingin memberitahu satu perkara kepada umat semuanya. Sama ada daripada pihak kerajaan atau parti pembangkang ataupun penyokong dan bangsa. Aku meminta maaf jika aku ucapkan sesuatu yang kamu semua tidak suka. Aku ingin semuanya tahu bahawa kekuasaan itu di tangan Allah. Allah memberi kekuasaan kepada sesiapa yang Dia suka. Maka janganlah ada komplot untuk mendapatkan kekuasaan itu. Dan janganlah ada tipu helah (penipuan) untuk sampai kepadanya (kekuasaan). Allah Taala telah menceritakan dialog antara Namrud dan Nabi Ibrahim. Apa yang Allah Taala kata? “..Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya (sedangkan dia dalam kekafiran), kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan (Namrud)…” – (Surah al-Baqarah:258, al Quranul Karim)Maka kekuasaan itu Allah diberi kepada sesiapa yang dia mahu. Maka jangan kamu melakukan tipu helah terhadap Allah. Dan jangan kamu membuat komplot (penipuan) terhadap Allah. Kerana seseorang tidak akan mendapat kekuasaan di dalam kerajaan Allah kecuali dengan kehendak Allah. Kalau dia seorang yang adil, maka manusia akan mendapat manfaat dengan keadilannya. Dan sekiranya dia seorang yang zalim, maka dia menjadi hodoh dengan kezalimannya dan Allah akan menjadikannya buruk di dada-dada manusia. Maka disebabkan Allah menjadikan dia buruk di dada manusia, rakyat akan membenci setiap orang yang zalim walaupun dia tidak terlintas membenci pemerintah itu. Aku berkata kepada kamu sekalian, Alhamdulillah, telah jelas kebenaran pada kata-kata Tuhan berdasarkan dengan peristiwa-peristiwa yang telah terjadi. Bagaimana kita hendak mentafsirkan kata-kata Allah : “..Wayamkuruuna wayamkurullah..” (dan mereka merancang perkara yang jahat dan Allah juga turut merancang). Dan bagaimana kita hendak mentafsirkan kata-kata Allah : “..Innahum yakiidunakaidan wanakiiuunakaida..” (Sesungguhnya mereka membuat tipu daya dan Allah membuat tipu daya juga). Siapa yang terlintas di dalam kepalanya untuk menjadi pemerintah, aku nasihatkan supaya dia jangan meminta-minta. Akan tetapi menjadi kewajipannya menjadi pemerintah ketika mana dia dilantik. Sabda Rasulullah salallahualaihi wasalam;
“..Siapa yang dilantik untuk sesuatu perkara, maka dia akan ditolong oleh Allah. Dan sesiapa yang meminta-minta sesuatu perkara, maka perkara itu akan menjadi beban kepadanya..”.

Wahai Tuan Presiden, aku ingin katakan satu perkara kepada engkau, mungkin ini adalah pertemuan terakhir kita! (Sheikh Mutawalli Sya’rawi memegang bahu presiden Mesir dan berkata;) “..Jika nasib kami bergantung kepada engkau, moga-moga Allah memberi taufiq(menunjukkan kepada kamu jalan yang benar). Dan jika nasib kamu bergantung kepada kami, moga-moga Allah menolong kamu untuk menanggung beban(untuk menghadapi kami)..”.

– Semoga Allah merahmati Sheikh Mutawalli Sya’rawi yang mengakhiri kehidupannya dengan memberi teguran dan nasihat kepada pemimpin. Al Fatihah

About suaraonline

Gerakan SUARA Rakyat
This entry was posted in Ilmiah, Video. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s