PRK KAJANG N.25

KAJANG MOVE

1) Buat kesekian kalinya Kajang menjadi tumpuan politik di Malaysia bilamana menyaksikan pilihanraya kecil (PRK Kajang). PRK ini berlaku kerana perletakan jawatan oleh penyandang Lee Chin Cheh dari PKR pada 27 Januari lepas bagi memberi peluang kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding.

2) Perletakan jawatan ini dilihat tidak relevan oleh sebilangan masyarakat kebanyaknnya walaupun berulang kali pimpinan PKR menyatakan ini adalah stategi dan taktikal untuk mengukuhkan kekuatan PR di Selangor.

3) Perbicaraan Mahkamah Rayuan yang dilihat tergesa-gesa serta keputusan yang tidak memihak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim di saat-saat akhir untuk PRK Kajang memberi tamparan hebat kepada penyokong PKR. Akhirnya keputusan tersebut membangkitkan semangat dan kemarahan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana dilihat tidak adil, keputusan tersebut juga dilihat merupakan keputusan politik yang bertujuan untuk tidak membenarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di PRK Kajang

AZIZAH MENGGANTIKAN ANWAR

4) Kemudian pada 9 Mac PKR mengumumkan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon PRK Kajang menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

5) Tarikh penamaan calon pada 11 Mac, namun PKR telah lebih awal mengumumkan calon mereka iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri kemudian diganti kepada Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail pada 9 Mac.

HARI PENGUNDIAN

6) 23 Mac merupakan hari pengundian, perjalanan PRK ini dilihat lancar dengan waktu mula mengundi seawal 8.00 pagi dengan jumlah Sebanyak 15 pusat mengundi di kawasan Dun Kajang dibuka bagi membolehkan 38,055 pemilih berdaftar melaksanakan tanggungjawab mereka dalam pilihan raya kecil Dun itu.

7) Pusat mengundi itu ialah Sekolah Rendah Agama Batu 10 Cheras, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sekamat, SK Saujana Impian, Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang, SK Sungai Kantan, Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Tinggi Kajang, SMK Convent Kajang, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan(C) Sungai Chua, Balai Raya JKKK Kampung Baru Sungai Chua, Pusat Rukun Tetangga dan Tabika Perpaduan Sungai Chua, Dewan Orang Ramai Sungai Chua, SAR (KAFA Integrasi) Taman Delima, SK Kantan Permai, SK Kajang dan Kompleks Penghulu mukim Cheras.

8) Semua pusat pengundian ditutup 5 petang bagi memberi laluan kepada proses penjumlahan undi. Kejadian-kejadian yang tidak diingini juga tidak dilaporkan berlaku cuma sekadar situasi biasa setiap kali pilihanraya berjalan.

KEPUTUSAN

9) sekitar jam 9.00 malam 23 Mac pihak SPR mengumumkan keputusan PRK Kajang di pusat penjumlahan undi di Dewan Kompleks Sukan Bandar Baru Bangi yang menyaksikan undi majority milik PR.

10) Datin Seri Wan Azizah yang meraih undi sebanyak  16,741 manakala Mei Fun sekadar mendapat 11,362 undi dengan majoriti  sebanyak 5,379 undi.

Jumlah undi calon BN pada PRK 2014 : 11,362
Jumlah undi calon PR pada PRK 2104: 16,741

Majoriti 2013 : 6,824
Majoriti 2014 : 5,379

UNDI SUSUT

11) Perbandingan untuk keputusan perolehan undi pilihanraya kecil ini berbanding Pilihan Raya Umum(PRU) 13 ialah menyaksikan majoriti kemenangan PKR yang lepas sebanyak 6,824 undi. Peratusan pengundi keluar mengundi juga berkurang sebanyak 16 peratus iaitu sebanyak 88.4 peratus pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu berbanding 72 peratus sahaja pada PRK ini.

Peratus keluar mengundi PRU 2013 : 88.4%
Peratus keluar mengundi PRK 2014 : 72.1 %

12) Pada PRU lalu calon PKR mendapat undi sebanyak 19 571 undi manakala calon BN memperoleh 12 747 undi sahaja dengan majoriti 6,824 undi. manakala pada PRK kali ini menyaksikan 16,741 undi diperoleh Datin Seri Wan Azizah(PKR) manakala Mei Fun(BN) sekadar mendapat 11,362 undi dengan majoriti  sebanyak 5,379 undi. Pengurangan majoriti ini dilihat seperti kekurangan kepada PKR tetapi sebenarnya PKR atau PR hanya kehilangan sekitar 15 peratus manakala BN kehilangan sekitar 20 peratus undi.

Jumlah undi calon BN pada PRU 2013 : 12,747

Jumlah undi calon PR pada PRU 2013: 19,571

13) Mungkin boleh dilihat majoriti yang berkurangan itu disebabkan pelbagai cara dan jentera yang digunakan oleh BN dalam berkempen ditambah beberapa isu besar yang melanda menenggelamkan kempen-kempen PKR. Tambahan pula peratusan yang keluar mengundi berkurang juga antara sebab yang boleh dilihat majoriti berkurangan.

14) Namun keputusan PRK ini tetap memberi mesej bahawa pengundi tetap memilih PKR atau Pakatan sebagai pilihan walau usaha dan janji-janji telah diberikan oleh BN.

KEKUATAN YANG MENJADI LIABILITI

15) Isu ketulusan media terus menjadi buah mulut para pemerhati politik dimana liputan hanya diberi kepada sebelah pihak sahaja dengan tidak memberi liputan yang sama kepada pihak PR.

16) Isu perkauman dan kezaliman juga bermain-main semasa tempoh kempen. Semasa memerhati perjalanan PRK ini S.U.A.R.A melihat kepada aspek kebebasan media dan isu perkauman masih dimainkan adalah suatu perkara yang mengotori sistem demokrasi. Juga penggunaan jentera kerajaan yang sudah lama digunakan masih berlaku juga perlu dikutuk dan dibantah.

17) PKR juga tidak terlepas dengan isu-isu panas seperti isu gerakan anak beranak, undi belas kasihan dan lain-lain. Namun semua ini tidak melemahkan semangat seluruh jentera dan calon.

S.U.A.R.A

18) S.U.A.R.A ingin merakam ucapan tahniah kepada Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail diatas kemengan beliau di Dun kajang.

19) Ucapan tahniah dan terima kasih juga kepada seluruh jentera yang menjayakan demokrasi di Malaysia. Rakyat berhak diatas kemenangan ini.

20) Beberapa isu yang pihak SUARA merasakan perlunya diambil perhatian antaranya ialah tindakan memperjudikan nasib rakyat dengan meletakkan jawatan oleh Lee Chin Cheh dari PKR dengan sewenang-wenang. Sedangkan amanah ialah isu integriti yang harus diambil perhatian oleh segenap lapis masyarakat Malaysia apatah lagi wakil rakyat yang telah dipilih secara sah sebelum ini. Jangan sampai satu tahap rakyat Malaysia menjadi bosan dan keliru dengan mainan politik yang memenangkan sebelah pihak.

21) S.U.A.R.A juga akan terus memerhati dari seberang lautan ini bersama-sama seluruh rakyat Malaysia kerana kami merasakan Negara dan tanah air merupakan tempat masa depan  generasi akan datang.

BERANI & BENAR

Gerakan Suara Rakyat (S.U.A.R.A) 2014

Posted in Suara Rakyat | Leave a comment

Pengumuman Presiden S.U.A.R.A ke-6

Gerakan Suara Rakyat S.U.A.R.A telah sepakat melantik Saudara Mohd Safwan bin Abdullah sebagai Presiden S.U.A.R.A 2014 bagi menggantikan Saudara Mohd Nur Afzan bin Ab Wahab.

Pihak S.U.A.R.A mengucapkan sekalung tahniah di atas lantikan tersebut dan berharap beliau dapat melaksanakan amanah dengan sebaiknya. “Sungguh, Allah telah menyuruh kamu menyampaikan AMANAH kepada yang berhak menerimanya.” (Surah An-Nisa’:58)

S.U.A.R.A juga merakamkan jutaan terima kasih kepada saudara Mohd Nur Afzan bin Ab Wahab di atas khidmat yang telah dicurahkan selama dua sesi 2012-2013.

Semoga Allah S.W.T terus memelihara legasi Gerakan Suara Rakyat S.U.A.R.A di bumi Mesir.

BERANI & BENAR

Meor Muhammad Syazwan bin Meor Harudin
Setiausaha Agong
Gerakan Suara Rakyat S.U.A.R.A


tahniahsafwan

Aside | Posted on by | Leave a comment

Keputusan Terhadap Dato’ Seri Anwar : Kezaliman Tidak Akan Diredhai

logosuaraKeputusan Mahkamah Rayuan yang menjatuhkan hukuman bersalah terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim amat mengejutkan rakyat di seluruh Negara pada hari ini. Keputusan ni merupakan satu lagi detik hitam dalam sistem kehakiman negara yang menzalimi sesiapa sahaja. Gerakan Suara Rakyat (SUARA) membantah keputusan ini dan sesekali tidak akan meredhai segala bentuk kezaliman.

Keputusan tergesa-gesa dalam menetapkan keputusan kes Sodomi II terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim ini pastinya mengakibatkan keyakinan orang ramai terhadap sistem kehakiman negara semakin parah.

Walaupun begitu, SUARA mengharapkan seluruh rakyat Malaysia, anak muda terutamanya terus bersemangat dan bersatu membentuk kebersamaan dalam menegakkan kebenaran dan keadilan serta menentang kezaliman. Bertahanlah dalam kebenaran kerana janji Allah SWT bahawa kebenaran pasti akan datang.

BERANI & BENAR

Mohd Nur Afzan Ab Wahab
Presiden
Gerakan Suara Rakyat (SUARA)

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Kenyataan Rasmi S.U.A.R.A : Isu Kasim Ahmad adalah penghinaan terhadap Nabi Muhammad S.A.W

Gerakan Suara Rakyat (S.U.A.R.A) mengecam penganjuran Seminar Pemikiran Kasim Ahmad : Satu penilaian juga yang dirasmikan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia yang keempat Tun Dr Mahathir Mohamed

Antara kenyataan-kenyataan daripada para pembentang kertas kerja seminar khususnya yang berkaitan isu agama dan penghinaan terhadap Baginda Nabi Muhammad S.A.W :

1. MEMPERTIKAI Dua Kalimah Syahadah dengan menganggap syahadah yang kedua sebagai mendewa-dewakan Nabi Muhammad S.A.W

2. MEMPERTIKAI rambut sebagai aurat wanita dan memperlekeh muslimah yang berhijab

3. MEMPERTIKAI kredibiliti Ulama’ dan menyamakan Ulama’ dengan kasta paderi

4. MEMPERTIKAI hadis Nabi Muhammad S.A.W sebagai sumber hukum

5. MENUDUH Imam Syafie R.A yang memulakan doktrin baru dengan menyatakan hadis sebagai sumber rujukan

6. MENTAFSIRKAN Al-Quran berdasarkan logik akal semata-mata

Tentunya umat Islam di Malaysia merasa amat kecewa apabila penghinaan terhadap junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W kali ini berlaku di tanah air kita sendiri. Lebih malang apabila penghinaan ini didiamkan oleh Pemimpin negara kita.

Sedar tidak sedar umat Islam dunia hari ini teruk diancam dek pelbagai pemikiran yang merosak umat, pemikiran Anti Hadis ini tentunya akan merosakkan sistem pendidikan Islam di negara kita kerana bercanggah dengan prinsip aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah. Sedangkan Pendidikan Islam yang sebenar berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah yang mana As-Sunnah disini bermaksud termasuk hadis Nabi Muhammad S.A.W dalam segenap aspek kehidupan.

PERSOALANNYA kenapa saudara Kasim Ahmad ini yang diangkat sebagai “tokoh” ? Bagaimana penganjuran yang berkait dengan golongan Anti Hadis ini dibenarkan sedangkan ia sudah pasti akan mengelirukan umat Islam dan bakal merosakkan ketulenan dan keabsahan kefahaman umat Islam di Malaysia terutamanya??

Justeru, S.U.A.R.A sekali lagi menggesa pihak kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat dalam penganjuran seminar yang berkenaan. Tentunya pemikiran ini telah menimbulkan keraguan terhadap sumber pegangan syariat Islam yang sudah pasti membangkitkan kemarahan umat Islam di Negara ini.

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Minda SUARA : Perginya Seorang Murobbi Yang Dikasihi

     Di persimpangan ini, ada kombinasi rasa sedang berpadu dalam setiap jiwa. Saat buana menerima kepergian beliau. Kesedihan datang menerjah dan menarah pedih luka. Namun di sebaliknya terselit kegembiraan, kepergian adalah syarat menemui Tuhan.

tght

    Tuan Guru Dato Haji Harun bin Taib, seorang Tokoh Islam yang kehidupannya merembes manfaat dalam perjuangan Islam di Malaysia. Langkah yang berwibawa penuh ketegasan mengundang hormat dalam diri kawan dan mencetus gerun dalam diri lawan. Ulama Haraki yang cintakan perjuangan dengan sebenar-benar cinta. Dirinya diwakafkan sepenuhnya untuk perjuangan. Sepenuh kudrat tenaga,ilmu,masa dan usia dipertaruhkan untuk melihat kebangkitan Islam. Menjadikan PAS sebagai batu loncatan dalam membawa Islam keseluruhannya. Islam dibawa bukan sekadar dengan manual bahkan diperlihatkan kepada dunia secara praktikal. Seluruh pelosok tanahair cuba dijejak hanya untuk mencipta kader amilin yang akan sama-sama mencipta sejarah kebangkitan Islam. Segenap aspek ditembusi. Lambakan idea dan kerahan usaha digabungkan dalam membangunkan jihad taalim.Bermula dari markas,sekolah rendah sehingga ke kolej.Antara kesan yang terbesar yang ditinggalkan adalah kemunculan PASTI. PASTI tertubuh melalui kertas kerja pra sekolah yang dibentangkannya. Jiwa ini sebati dalam mencernakan cinta untuk melihat lahirnya generasi penerus perjuangan.

    Nama Beliau dipandang besar saat kaki melangkah ke gelanggang politik. Jiwa Murabbi ini tidak pernah lupa mendidik ummah sekalipun rancak berpencak di medan politik, bahkan ia sebenarnya satu kelebihan dalam menyebarluas Islam. Platform sebagai Exco kerajaan digenggam erat. Banyak institusi pendidikan dibangunkan. Langkah Almarhum Tuan Guru terpacu laju,apabila keluarga sakinahnya dibentuk atas nama dakwah. Sayap kiri perjuangannya turut tidak ketinggalan menyumbang tenaga dalam saf kepimpinan Muslimat PAS. Anak-anak dibentuk menjadi penyambung mata rantai Islam yang dibawanya.Ketegasan dan ketekunan Beliau dalam mencorak ummah disanjung tinggi. Usaha beliau dilihat bercambah saat lahirnya anak didik yang berlatar belakangkan variasi pendidikan dan sosial yang berbeza namun berjuang di atas medan yang sama.Islam dijunjung sebagai yang tunjang utama.

    Perjuangan Islam ini sentiasa basah dengan kehadirannya. Terbukti murabbi ummah ini adalah murabbi yang serba boleh. Maka tidak hairanlah, dengan niat yang ikhlas, nadi nafasnya hanya berdetak demi Islam dan seisinya sehingga pergi menemui PenciptaNya. Kesungguhan beliau memimpin ummah satu usaha yang mengharukan. Dunia Islam pernah berbangga dengan As-Syahid Syeikh Ahmad Yassin yang tetap memeperjuangkan kebangkitan rakyat Palestin menentang Israel. Tidak kurang jika diteliti kisah Tuan Guru Dato Haji Harun Taib. Betapa sebuah amanah itu mahal beliau tetap berusaha membawa Islam sekalipun hanya di atas kerusi roda. Menjawat jawatan sebagai Ketua Dewan Ulama PAS Pusat selama beberapa tahun dalam keadaan yang uzur, bukanlah satu penghalang untuk terus setia bersama perjuangan. Istiqamah Almarhum harus dijadikan contoh tauladan dalam setiap jiwa abnaul harakah. Tidak cepat putus asa dan tidak cepat melatah dalam menongkah arena perjuangan.

    Setiap manusia hanya dikurniakan sekali nafas dunia. Beruntung bagi setiap jiwa yang berjaya memanfaatkan nafas yang sekali ini demi Islam dan perjuangannya. Pemergian Almarhum Tuan Guru, tidak harus dijadikan alasan kepada lemahnya semangat penyambung perjuangan. Bahkan ia seharusnya dijadikan cabaran untuk disahut bagi memastikan delegasi Islam yang dibawa PAS akan sentiasa mekar sehingga matlamat mendaulatkan Islam di Malaysia dan dunia menjadi satu realiti. Adat dan tradisi yang hidup pasti akan mati. Namun adakah gerabak perjuangan ini akan berhenti apabila mati pemandunya? Jika ya, sudah pasti hari ini tiada lagi Islam setelah wafatnya Nabi S.A.W. Tetapi hakikatnya perjuangan membawa Islam masih berlangsung. Dakwah dan perjuangan ini akan terus bergerak sekalipun isi dan pemandunya bertukar ganti. Jasad Almarhum Tuan Guru sememangnya telah pergi. Namun semangatnya dalam memperjuangkan Islam tidak akan pernah lenyap dalam setiap jiwa abnaul harakah. Bangunlah melangkah dalam keadaan yang optimis dan sedar. Tinggalkan kesedihan dan rasa kehilangan yang ada.

    Andai hari ini, pihak musuh bergembira dengan pemergian Tuan Guru Dato Harun Taib, ketahuilah kebahagiaan ini tidak akan berkekalan lama. Tuan Guru tidak pergi kosong. Bahkan di belakangnya telah disiapkan kader-kader perjuangan yang siap siaga meneruskan perjuangan. Pemergian Almarhum Tuan Guru merupakan kerehatan abadi yang diimpikan pecinta syurga. Maka seharusnya sebagai amilin,usaha untuk menyambung perjuangan Almarhum wajib diteruskan bahkan harus dijalankan dengan lebih giat lagi. Semoga cita-cita Almarhum yang tidak dapat dicapai ketika hidupnya dapat direalisasikan satu hari nanti.

Al-Fatihah buat Murabbi Ummah..

Posted in Uncategorized | Leave a comment

BANTAH KENAIKAN HARGA YANG MEMBEBANKAN RAKYAT

   suara3Rakyat Malaysia ternanti-nanti akan kehadiran tahun baru 2014 ini dengan penuh debaran. Realitinya tahun 2014, rakyat Malaysia khususnya rakyat miskin dan berpendapatan sederhana akan berdepan dengan cabaran yang lebih besar bagi mengharungi kehidupan seharian.

   Pasca Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13), rakyat nampak semakin tenat dan tertekan dengan kenaikan kenaikan harga petrol, cukai pintu, bil air dan elektrik, harga gula dan pelbagai lagi keperluan termasuk kenaikan tambang bas sekolah yang akan menambah lagi kesengsaraan rakyat. Tidak cukup dengan itu kadar GST sehingga 6% bakal mengundang kesan terhadap taraf hidup rakyat. Kalau pun kerajaan menanggung “beban” hutang negara, kenapa mesti rakyat yang menanggung akibatnya?

   Justeru, permasalahan ini harus diselesaikan segera oleh kerajaan pemerintah di bawah pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak.. Malanglah rakyat Malaysia sekiranya harta negara dan segala nikmat hanya diagihkan kepada kroni dan pembaziran. Sara hidup rakyat semakin tinggi sehingga rakyat semakin tertekan dan sanggup melakukan jenayah untuk mencukupkan pendapatan mereka.

   Seharusnya, kewajipan yang perlu dilaksanakan oleh pemimpin negara adalah memastikan bahawa rakyat dapat hidup dengan tenang atas dua asas utama ini :-

1. Keperluan yang mencukupi.

2. Keamanan yang terjamin.

   Rakyat harus diberikan keutamaan dalam segala hal. Itu merupakan amanah terhadap pemimpin yang memimpin. Firman Allah SWT di dalam kitab suci Al-Quranil Karim :-

الَّذِي أَطْعَمَهُمْ مِنْ جُوعٍ وَآمَنَهُمْ مِنْ خَوْفٍ

   Ayat ini membawa maksud : “Tuhan (Allah SWT) yang memberi mereka penghidupan; menyelamatkan mereka dari kelaparan, dan mengamankan mereka dari ketakutan. “

   Inilah sepatutnya yang dilaksanakan oleh pemimpin negara iaitu memastikan agar segala nikmat dan perbendaharaan negara yang dikurniakan oleh Allah SWT dapat diagihkan dengan amanah sehingga manusia dapat hidup dengan senang dan aman daripada ketakutan. Maka amat wajar kerajaan menghentikan segala bentuk pembaziran, ketirisan dan perbelanjaan berlebihan.

   Sedar atau tidak, apa yang berlaku hari ini adalah kesan apabila pemerintahan dan Negara itu dipisahkan daripada agama. Al-Imam Al-Ghazali menyatakan :-

   “Dunia merupakan ladang akhirat, tiada sempurna agama kecuali dengan dunia. Pemerintah dan agama umpama kembar, maka agama itu dasarnya dan pemerintah itu penjaganya. Tiap-tiap ysesuatu yang tiada asalnya akan musnah, dan tiap-tiap sesuatu tanpa penjaganya akan hilang.”

   Akhirnya, Gerakan Suara Rakyat (SUARA) mengajak seluruh anak Malaysia di Mesir turut bersama rakyat Malaysia untuk terus menyatakan bantahan terhadap kenaikan harga barang, cukai dan perkhidmatan yang membebankan rakyat. Terus konsisten dalam usaha membela nasib rakyat. Rakyat tentunya amat bersetuju dengan langkah penjimatan yang bakal dilaksanakan. Kerajaan perlu lebih telus dan amanah dalam mengurus perbendaharaan Negara. Ini tanda kita anak Malaysia cintakan Negara!

BERANI & BENAR

Presiden

Gerakan Suara Rakyat (SUARA)

Posted in Uncategorized | Leave a comment

PRESIDEN SUARA ZIARAH MANTAN PRESIDEN SUARA

Image

5 Disember, Presiden Gerakan SUARA Rakyat Malaysia-Mesir, Saudara Mohd Nur Afzan Abdul Wahab telah menziarahi Mantan Presiden SUARA, Al-Fadhil Ustaz Nuruddin Zinki bin Hamzah yang ditimpa kemalangan di JOHOR kelmarin.

Ustaz Nuruddin Zanki telah dimasukkan di unit rawatan rapi Hospital Segamat, setelah mengalami kecederaan yang agak serius apabila kereta yang beliau pandu di langgar sebuah lori. Turut sama menziarahi beliau adalah dua orang mantan Presiden SUARA yang pertama Al-Fadhil Ustaz Mohd Farhan Madzlan dan Mantan Presdien SUARA yang ketiga Al-Fadhil Ustaz Mohd Firdaus Madzlan.

Apabila sampai, mereka menemui keluarga Ustaz Nuruddin Zanki sebelum dibenarkan masuk berjumpa dengan beliau. Diberitakan Presiden SUARA melalui paparan FB beliau mengatakan, “Alhamdulillah, beliau mula memberikan respon semasa berinteraksi dengan beliau. Teruskan berdoa agar beliau terus diberikan kekuatan dan semangat!”

Ustaz Nuruddin Zanki merupakan Mantan Presiden Gerakan SUARA Rakyat Malaysia-Mesir yang keempat pada sesi 2012 yang lalu. Setelah beliau pulang ke Malaysia, maka amanah ini digalas oleh Presiden SUARA sekarang iaitu Saudara Mohd Nur Afzan Abdul Wahab sehingga sekarang. Sesungguhnya, Gerakan SUARA Rakyat amat bersimpati dan mengucapkan takziah kepada UStaz Nuruddin Zanki serta keluarga diatas dugaan dan ujian yang amat perit yang dilalui mereka.

Sehubungan itu, pihak Gerakan SUARA melancarkan kutipan derma kilat untuk diberikan kepada Ustaz Nuruddin Zanki. Seluruh rakyat Malaysia yang ingin menyumbang boleh menyalurkan sumbangan tersebut kepada :-

1) NORAINI MUSA (Isteri Ustaz Nuruddin Zanki) ke akaun BANK ISLAM : 01078020125228 untuk penyumbang di Malaysia.

ATAU

2) Naib Presiden Gerakan SUARA, Ustazah Siti Najwa Binti Md. Zin bagi peyumbang di Mesir.

Semoga dengan usaha kita yang kecil ini dapat mengurangkan beban yang ditanggung oleh mereka sekeluarga. Mari bersama kita mendoakan agar beliau sihat dan sembuh seperti sediakala untuk terus berjuang bersama-sama menjadi ejen penyampai Islam kepada masyarakat sekaliannya.

“BERANI & BENAR”Yang berkhidmat,

MUHAMMAD FAIZAL BIN ABDULLAH,

Setiausaha Agung,

Gerakan SUARA Rakyat Malaysia-Mesir,

Sesi 2013.

Posted in Berita, Suara Rakyat | Leave a comment